Azam tahun baru saya ialah….
Sama sahaja setiap permulaan awal tahun, kebanyakkan kita mula merangka azam, membuat perancangan, kejayaan yang mahu dicapai sepanjang 365 hari akan datang. Azam-azam itu membuatkan kita berasa positif dan termotivasi untuk menempuh masa hadapan. Namun, sebenarnya menurut statistik, hanya 12% daripada azam yang dirangka akan menjadi kenyataan pada hujung tahun, selebihnya hanya akan tinggal impian.
Malah, ada pula antara azam yang dirangka itu akan terus dilupakan. Penyelidikan yang dilakukan di Amerika Syarikat (AS) merumuskan 20% daripada subjek kajian akan melupakan azam mereka dalam minggu pertama Januari. Enam puluh lapan peratus akan meninggalkannya dalam tempoh 3 bulan pertama tahun itu. Pada akhir tahun, hanya 15% yang akan masih berpegang pada azam-azam mereka itu. Yang sering dirujuk sebagai punca azam-azam tahun baharu yang ditinggalkan tersadai berpunca daripada resolusi tersebut tidak jelas dan tidak realistik.
Menurut kajian di AS dan diterbitkan di laman web AS, antara azam yang paling popular setiap kali muncul 1 January, adalah untuk menjaga kesihatan dan menguruskan kewangan. Menjaga kesihatan itu termasuklah berhenti merokok, menguruskan badan, menjaga pemakanan, selain kerap bersenam dan ke gimnasium. Manakala menguruskan kewangan termasuklah mahu melangsaikan kesemua hutang piutang, mengubah kerjaya kepada yang lebih bagus serta menabung dengan lebih konsisten. Sebenarnya kalau difikirkan, walaupun resolusi itu pelbagai, banyak daripada kita mempunyai azam tahun baru yang hampir serupa.
Sepanjang tahun 2007, mulai bulan Januari, Professor Richard Wiseman dari University Hertfordshire di United Kingdom, telah mengkaji 3000 orang dengan azam tahun baru yang berbeza-beza. Pada permulaan kajian, 52% daripada peserta mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa azam tahun baru yang dirangka tersebut akan menjadi kenyataan. Namun, setahun kemudian, hanya 12% yang mencapai sasaran masing-masing. Apakah yang berlaku?
Menurut Professor Wiseman, seorang pakar sains kefahaman psikologi, antara masalah utama bagi resolusi yang tidak tercapai kerana azam itu tidak realistik . Azam tahun baru perlu tidak terlalu sukar untuk direalisasikan dan mempunyai sifat SMART (Specific, Measureable, Achievable, Realistic and Time Based). Oleh itu, azam-azam tahun baru yang optimum perlu mempunyai sasaran yang spesifik, sasaran kejayaan yang boleh diukur, mampu dicapai dengan usaha, realistik dan mempunyai tempoh masa yang terhad.
Beliau memberikan contoh, azam yang sukar untuk dipenuhi apabila ia terlalu terbuka, seperti “saya mahu mendapat kerja baru”. Beliau mencadangkan azam yang lebih baik untuk menggantikan azam tersebut ialah “saya akan mengemas kini serta memperbaiki vitae kurikulum saya serta harus menghantar permohonan kerja baru setiap dua minggu”. Azam yang lebih spesifik dan mudah diukur itu dikatakan akan meningkatkan motivasi untuk mengecapnya. Ia sebenarnya bukan sekadar azam, tetapi perancangan.
Mungkin perkara utama yang menggagalkan azam tahun baru disebabkan kita masing-masing hanya sekadar menyimpan angan-angan, tanpa merancang pelan mahu mencapainya. Menurut pakat motivasi AS, Jim Rohn, “Menakjubkan banyak orang yang merancang percutian mereka dengan lebih terperinci daripada merancang hidup mereka sendiri. Mungkin ia kerana berubah itu sukar, melarikan diri lebih mudah”.
Tradisi menyambut permulaan tahun dengan merangka azam tahun baru dikatakan bermula sejak tahun 153 Sebelum Masihi, dan berasal daripada Raja Janus, dewa mitos Yunani yang tinggal di Rom. Janus mempunyai dua wajah; satu wajahnya melihat kehadapan, dan satu lagi melihat kebelakang, dan merupakan dewa permulaan dan pembaharuan bagi orang Rom. Arca wajahnya sering diletakkan di gerbang-gerbang dan pintu masuk, memandang ke arah dua-dua belah ruang pintu. Maka tidak hairanlah, Janus menjadi simbol resolusi tahun baru dan seperti disimbolkan oleh Janus, orang Rom akan merangka azam dengan memandang kehadapan sambil bermuhasabah dan melihat ke belakang.
Muhasabah adalah elemen utama dalam menentukan azam tahun baru. Menurut Profesor Wiseman, untuk merangka azam baru adalah sia-sia sekiranya tidak menghisab kejayaan azam yang sudah dirangka. Wiseman melaporkan dalam rumusan kajian, bahawa sekiranya azam tahun lepas tidak berjaya dikotakan dan seseorang individu mengulang semula azam yang sama tahun ini, ia akan membawa kepada tekanan dan kekecewaan. Muhasabah memperkenalkan kita dengan kemampuan diri sendiri. Khalifah Umar juga pernah berpesan, “Hisablah diri kalian sebelum dihisab. Timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang dan berhiaslah untuk menghadapi hari melihat yang agung.”
Kajian Wiseman turut menyiasat perbezaan antara peserta wanita dengan lelaki. Azam-azam yang dirangka oleh orang lelaki lebih mudah dicapai sekiranya mempunyai sasaran yang jelas. Contoh azam, “saya mahu mengurangkan satu kilogram berat badan sebulan” adalah lebih berpotensi untuk dicapai daripada azam bersasaran kurang jelas seperti “saya mahu lebih kurus”.
Wiseman berpendapat bahawa orang lelaki mempunyai ego yang besar, lalu sering merangka azam tahun baru yang terlalu luas terbuka serta tidak realistik, lalu susah untuk dicapai. Oleh itu, lebih wajar merangka azam yang lebih terperinci dan jelas sasarannya. Menurut statistik Wiseman, 32 peratus daripada orang lelaki yang mempunyai azam dengan sasaran yang jelas akan mencapai azam mereka, tambahan 22 peratus daripada peratusan 12 peratus awal tadi.
Kaum wanita pula akan lebih berpotensi mencapai azam mereka sekiranya diberitahu kepada kenalan terdekat. Sekiranya resolusi tahun baru mereka itu diiklankan, dikongsi bersama-sama orang lain, peratus kebarangkalian untuk azam-azam itu dikotakan pada hujung tahun akan meningkat 10 peratus. Dikatakan, punca kejayaan azam bagi pihak wanita adalah atas sokongan psikologi dan mental para sahabat dan keluarga yang dikongsi azam itu.
Walaupun menyambut tahun baru budaya Barat, membina azam adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam. Seorang Muslim harus sentiasa menghisab diri dan membuat azam untuk menjadi lebih bagus daripada sedia kala.
Oleh itu, merangka resolusi adalah seperti satu langkah berubah diri menjadi lebih baik, mengikis sifat-siaft negatif dan amalan-amalan kurang sihat. Sebetulnya, sekiranya dilihat dari segi psikologi, spiritual dan dinamik fizikal, resolusi tahun baru adalah lebih kurang sama seperti amalan “taubat” dalam Islam. Resolusi tahun baru menanam keazaman mahu meninggalkan yang buruk, dan mengamalkan yang baik-baik demi kejayaan pada masa hadapan.
Pada tahun baru, penting untuk kita mengimbangkan agaman dan dunia, teknologi dan sains. Yang mencemarkan tahun baru adalah kerana mereka yang terlalu melebihkan satu bahagian, terlalu membantah berkenaan perayaan tahun baru atau terlalu taksub meraikannya sehingga terlupa batas-batas agama. Binalah azam tahun baru, dan berusahalah untuk menjadi insan yang lebih kamil. Selebihnya adalah urusan anda dan tuhan.
Selamat tahun baru!
..::blueberrybiru @ DK::..