PAS yakin pengundi mampu menilai kepentingan undi mereka dan tidak mudah termakan dengan percaturan mana-mana parti politik untuk meraih undi dalam pilihan raya.
Bagaimana pun, setiap parti politik perlulah diberikan kebebasan untuk menyalurkan maklumat mengenai parti masing-masing secara bebas. Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata sama ada parti kerajaan atau pembangkang, mereka perlu dibenarkan menyalurkan maklumat yang berasas, berpegang kepada fakta dan kebenaran.
Pengundi dengan pelbagai latar belakang boleh menilai sendiri keputusan mereka. Politik di Malaysia hari ini banyak bergantung kepada kemampuan wang – politik wang. Datuk Mustafa menjelaskan bahawa pengundi masa kini membuat pemilihan berasaskan sesuatu parti, bukan calon. Sebab itulah calon bodoh mana sekali pun boleh menang kerana pengaruh parti lebih besar daripada calon.
Kerajaan menggunakan jentera mereka termasuk media perdana yang dikuasai Barisan Nasional (BN). Jika rakyat hanya membaca media ini, bererti apa yang BN cakap semuanya benar belaka dan mereka akan terima bulat-bulat. Sepatutnya sebagai sebuah negara demokrasi rakyat perlu diberi akses untuk menilai sama ada parti kerajaan atau pembangkang mengenai pelbagai sudut dan isu yang diperdebatkan.
Tidak semua orang baca Harakah yang diterbitkan dua kali sebulan. Bagi pengundi yang matang ialah mereka yang mempunyai ekses maklumat yang tepat dan betul untuk membolehkan mereka menggunakan sepenuhnya tanggungjawab apabila tiba hari membuang undi.
Walaupun pengundi negara ini semakin matang sejak negara merdeka, tetapi sumber maklumat semakin terhad dan terhalang menyebabkan pengundi tidak mampu membuat pertimbangan seadilnya terhadap calon dan parti. Beliau menyifatkan bahawa walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi tetapi ia adalah ‘demokrasi tempang’ kerana tidak mengikut prinsip demokrasi apabila parti pembangkang tidak diberi ruang untuk memberi penerangan terus kepada rakyat.
Masyarakat tidak mendapat gambaran sebenar mengenai perjuangan parti pembangkang kerana tidak diberi akses berbuat demikian. Walaupun sudah ada Internet, kebanyakkannya di kawasan bandar, rakyat luar bandar masih kurang berpengetahuan untuk mendapatkan maklumat melalui blog-blog yang menyokong parti atau laman web parti.
Takbir…….
-dipetik dari Majalah “Milenia Muslim” Mac 2008-


