Restoran idaman pengunjung
Selain menikmati makanan yang lazat, pengunjung juga berpeluang menggunakan kemudahan yang disediakan seperti menaiki bot, berkayak dan memancing di Restoran Tasik Idaman.
PADA waktu malam, Restoran Tasik Idaman bergemerlapan dengan cahaya lampu yang menarik.
NUR Fateha Osman, 22, boleh dianggap seorang remaja yang bertuah. Manakan tidak, pada usia yang masih muda, dia telah pun memiliki perniagaan sendiri yang perlu diuruskan.
Bergelar pengurus Restoran Tasik Idaman yang mempunyai keluasan satu setengah ekar, Fateha sebenarnya telah melakukan satu pengorbanan besar dalam diri demi memenuhi permintaan kedua ibu bapanya.
KOLAM memancing turut disediakan untuk mereka yang menggemari aktiviti ini.
Menurut Fateha, sebelum menguruskan Restoran Tasik Idaman sepenuh masa, dia pernah melanjutkan pengajian di Kolej Cosmopolitan dalam jurusan kesetiausahaan. Namun, belum pun puas merasai keseronokan bergelar pelajar kampus, Fateha terpaksa membuat satu keputusan paling besar iaitu berhenti belajar.
“Memang saya akui, ia satu perkara yang sukar untuk dilakukan kerana jiwa saya masih mahu meneruskan pengajian sehingga berjaya mendapatkan segulung diploma atau ijazah. Apatah lagi saya amat berminat dalam bidang tersebut. Tetapi setelah puas berfikir, akhirnya saya akur dengan kehendak ibu dan bapa.
“Tambahan pula, saya percaya tiada ibu bapa di dunia ini yang sanggup melihat anaknya menderita. Oleh itu, saya yakin keputusan yang dibuat ini, pasti menjanjikan kebahagiaan buat saya. Alhamdulillah, kini perniagaan Restoran Tasik Idaman semakin berkembang maju,” ujar Fateha ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
SUASANA gerai di tepi tasik yang santai mampu menenangkan hati pelanggan.
Restoran Tasik Idaman dinamakan sempena gabungan nama ibu bapa Fateha iaitu Rashidah Ahmad (Ida) dan Osman Sahib (Man). Ia mula beroperasi secara rasmi pada 3 September 2004. Fateha memaklumkan pada asalnya, restoran tersebut ingin dijadikan rumah rehat untuk kegunaan peribadi keluarganya. Tetapi, atas sebab-sebab tertentu, ayahnya mengambil keputusan untuk menjadikannya sebuah restoran.
|
NUR FATEHA OSMAN
|
Walaupun lokasi restoran ini agak terpencil, namun menurut Fateha, sambutan yang diterima begitu menggalakkan. Ini kerana kedudukan restoran itu yang berhadapan dengan tasik menimbulkan suasana santai dan menyenangkan pelanggan.
Malah, keenakan makanan yang ditawarkan di restoran ini membuatkan pelanggan berpuas hati dan tidak keberatan untuk datang semula pada lain waktu.
“Kami mementingkan kualiti makanan yang dimasak demi kepuasan pelanggan. Mungkin disebabkan itulah, restoran ini sering menjadi pilihan orang ramai. Antara menu istimewa yang disediakan ialah Tom Yam Tasik Idaman, Siakap Stim Limau, Talapia Bakar, Ayam Goreng Kampung dan banyak lagi.
KEMUDAHAN kayak hanya boleh digunakan pada waktu petang sahaja.
“Bukan itu sahaja, kami turut menyediakan hidangan barat seperti Chicken Chop, Lamb Chop, Fish & Chips serta makanan tradisional seperti lempeng dan roti canai,” kata Fateha sambil menambah bahawa air minuman yang sering menjadi pilihan ialah Air Limau Tasik Idaman.
Di samping itu, apa yang menarik mengenai restoran ini ialah terdapat kolam memancing yang disediakan untuk mereka yang bergelar kaki pancing. Malah jika mahu, pelanggan boleh meminta hasil tangkapan mereka dimasak terus di restoran ini dengan hanya mengenakan caj untuk memasak sahaja.
“Selain kolam memancing, kami turut menyediakan kemudahan seperti menaiki bot di sekitar tasik, berkayak, karaoke dan juga kawasan untuk melakukan aktiviti paintball.
|
TALAPIA bakar, antara resipi yang menjadi pilihan pengunjung.
|
“Kami juga menerima tempahan untuk sebarang acara seperti majlis resepsi perkahwinan, makan malam tahunan, hari keluarga serta aktiviti-aktiviti tertentu yang pelanggan mahukan. Kesemua ini ditawarkan dalam bentuk pakej. Tempahan boleh dilakukan seminggu sebelum acara diadakan,” jelas anak kedua daripada empat adik beradik ini.
Menariknya tentang restoran ini ialah ia mempunyai nama bagi setiap pondok atau teratak yang ada di sini. Antaranya ialah Taman Cahaya Idaman, Teratak Apung dan Teratak Idaman iaitu tempat bagi pelanggan VIP.
Untuk hari tertentu pula, pihak pengurusan Restoran Tasik Idaman akan mengundang artis atau penyanyi untuk membuat persembahan sekali gus menghiburkan pelanggan. Antara mereka yang pernah diundang ialah kumpulan May dan Bandi Amuk. Jika tiada artis diundang, tugas menghiburkan pelanggan dijalankan sepenuhnya oleh dejay tetap di restoran ini.
Bagi salah seorang pelanggan tetap Restoran Tasik Idaman, Mohd. Fardlie Ibrahim, 30, dia mula mengetahui tentang restoran ini setelah diperkenalkan oleh rakannya.
|
|
“Apabila kali pertama datang ke sini, hati saya sudah terpaut dengan keindahan kawasan serta dekorasinya. Setelah menikmati makanan yang disediakan, memang ia menepati cita rasa saya.
“Menu yang sering menjadi pilihan saya ialah Nasi Goreng Tasik Idaman. Ia begitu lazat dan menyelerakan.
“Malah, saya tidak teragak-agak membawa rakan-rakan dari jauh untuk makan di sini,” kata Fardlie.
Untuk tempahan, anda boleh menghubungi Fateha di talian 012-3337963 atau 012-6775632 atau layari laman web www.tasikidaman.blogspot.com
..::blueberrybiru::..










Ya ..Restoren Tasek Idaman memang sempoi dan Best ..
Saya ke sana pada tahun 2008 ..dan 2009 mungkin kalau ada rezeki dan masa akan datang semula …sedaaaap