Rata-rata rakyat negara ini terutamanya pembaca akhbar mempunyai pandangan berbeza berhubung “isu panas” yang melanda negara kebelakangan ini. Begitu juga dengan jutaan penonton televisyen dan pendengar radio yang menunjukkan minat untuk mengetahui “siapa betul dan siapa salah” dalam kes profil tinggi.
Sama ada suka atau tidak, perkembangan terkini berita di negara ini turut menjadi tatapan masyarakat seluruh dunia. Sekali lagi nama negara meniti dari bibir ke bibir di kalangan masyarakat dunia walaupun ia “atas alasan yang salah” dan jelas ia adalah berita yang tidak menguntungkan negara. Ia menjejaskan imej dan nama baik negara. Bagi rakyat tempatan, ada yang mengatakan mereka membeli dan membaca akhbar sekadar untuk mengikuti perkembangan berita sensasi yang melibatkan tuduhan liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23.
Tidak cukup dengan berita ini, tuduhan kedua ke atas Dato’ Seri Anwar sejak sedekat lalu itu, ia dipanaskan lagi dengan munculnya tuduhan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Altantuya Shaaribuu. Kedua-dua isu ini yang timbul secara mengejut, cuba dikaitkan antara satu dengan lain dalam konteks politik negara. Isu Dato’ Seri Najib digembar-gemburkan kerana beliau didakwa sebagai penggerak atau “pemain” utama dalam kes liwat Dato’ Seri Anwar.
Sebelum membuat laporan polis yang mendakwa Dato’ Seri Anwar meliwatnya, Saiful bertemu Dato’ Seri Najib. Pertemuan yang diakui sendiri oleh Dato’ Seri Najib ini menimbulkan tanda tanya dan menguatkan hujah pihak Dato’ Seri Anwar dan pengikutnya mengenai wujudnya konspirasi untuk memusnahkan masa depan politiknya. Dato’ Seri Anwar mengisytiharkan perang terhadap Dato’ Seri Najib. Rancangan Pakatan Rakyat (PR) untuk menubuhkan kerajaan sebelum 16 September kononnya dikatakan menjadikan faktor penting, pihak tertentu dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) berusaha dengan apa cara sekali pun untuk menggagalkan kemaraan PR untuk menubuhkan kerajaan atau melengah-lengahkan rancangan itu.
Ada juga yang mengatakan propaganda Dato’ Seri Anwar untuk menubuhkan kerajaan itu memerangkap dirinya sendiri yang menyebabkan musuhnya sentiasa mencari ruang untuk mencemarkan imej politiknya. Dato’ Seri Anwar dan pemimpin PKR munkin sengaja menggembar-gemburkan berita itu untuk mendapat tarikan media arus perdana dan pada masa yang sama memberi keyakinan kepada parti-parti dan ahli Parlimen dalam Barisan Nasional (BN) untuk melompat ke PR.
Dalam konteks ini, Dato’ Seri Anwar berjaya mendapatkan liputan media berhubung isu beliau mahu menubuhkan kerajaan. Sesiapa saja yang membuat komen berhubung isu ini dan mendapat tempat dalam media, turut menyumbang kepada peningkatan populariti Dato’ Seri Anwar. Media tempatan tidak akan membaca tujuan Datp’ Seri Anwar, sebaliknya cuba mendapatkan reaksi daripada pelbagai pihak untuk meremehkan rancangan PR. Bagi PR, mereka dianggap sudah berjaya mengocak air yang tenang dengan bantuan media arus perdana yang pada masa ini masih belum dapat menentukan arah tuju masing-masing.
Jika ada pihak yang mengatakan bahawa Dato’ Seri Anwar adalah seorang yang kreatif, sebenarnya orang itu bercakap benar. Ini kerana Dato’ Seri Anwar tahu cara untuk mendapat tarikan media, tahu mematahkan hujah, malah mengelirukan lawan politiknya. Soal sama ada beliau benar-benar mahu menubuhkan kerajaan atau cakap kosong semata-mata adalah tidak penting. Perkara penting ialah beliau berjaya menyemarakkan kemaraannya dan terus di julang sebagai pemimpin berkarisma dan berkaliber. Orang ramai juga mengikut perkembangan berita melalui blog-blog yang memberikan perspektif dari pelbagai sudut. Blog bukan sahaja berjaya mengimbangi berita daripada media lain, sebaliknya memberi dimensi baru terhadap sesuatu sudut berita. Itulah sebabnya, blog-blog semakin popular kerana ia dilihat lebih bebas.
Paling penting dan dianggap berkesan ialah bila orang ramai mendapat maklumat daripada komunikasi bersemuka iaitu pertukaran maklumat dengan rakan-rakan atau mendengar ceramah. Itulah sebabnya pelbagai perhimpunan diatur untuk membolehkan orang ramai mendengar hujah-hujah pemimpin pembangkang. Kajian menunjukkan bahawa komunikasi bersemuka adalah medium paling berkesan untuk mempengaruhi minda masyarakat berbanding media tradisi lain. Kes profil tinggi seperti ini dengan mudah menenggelamkan isu-isu lain yang muncul sebelum atau serentak dengannya. Isu kenaikan harga barang susulan kenaikan harga petrol mula dikesampingkan.
Jika tujuannya untuk mengalih pandangan daripada isu kenaikan harga barang kepada isu lain, ia boleh dianggap separuh berjaya. Ini kerana tidak semua orang yang mengikuti perkembangan terbaru ini berasakan masalah mereka sudah selesai kerana kenaikan harga barang menyebabkan kos sara hidup mereka turut meningkat. Pendapatan yang tidak bertambah untuk menampung perbelanjaan yang meningkat, menghimpit kehidupan mereka. Bagi pengamal media, ini adalah masa yang paling sesuai untuk melariskan jualan akhbar atau menambah rating penonton televisyen dan pendengar radio. Jika dalam keadaan “berita panas” seperti ini pun, media gagal menaikkan bilangan pembaca atau penonton, mereka seharusnya melihat semula apakah bentuk berita yang mereka terbitkan. Ia mungkin tidak digemari oleh pembaca atau penonton televisyen kerana dianggap memuakkan.
Membaca akhbar atau mendengar berita di media elektronik memberikan pelbagai makna dalam kemajuan media di negara ini. Dari satu sudut, dengan banyaknya berita politik yang disiarkan melalui media menunjukkan betapa kebebasan media berada pada tahap yang tinggi. Ia seolah-olah menunjukkan tidak ada halangan kepada media untuk menyiarkan apa jua bentuk berita. Bagi sesetengah orang, mereka juga melihat sama ada media, terutamanya media arus perdana, benar-benar berkecuali dalam menyiarkan maklumat yang mempunyai implikasi politik dan imej pemimpin. Sama ada mereka berkecuali atau tidak, dapat dilihat apabila perbandingan berita yang disiarkan media arus perdana dengan media baru seperti blog-blog atau media alternatif sama ada laman-laman web, risalah, ceramah dan sebagainya.
Jika pembaca berasakan mereka berpuas hati dengan laporan akhbar, mereka akan membelinya tetapi jika berpendapat akhbar tidak bersikap adil dalam melaporkan berita terkini, mereka akan memboikotnya. Mengikuti perkembangan peringkat awal mengenai kedua-dua berita sensasi ini, pembaca akhbar ibarat sedang mendengar siaran langsung menerusi radio perlawanan badminton antara dua jaguh. Pengulas perlawanan itu hanya menyebut dan mengulangi nama salah saja seorang pemain apabila beliau membuat pukulan dan serangan ke gelanggang lawan atau membuat helah yang cantik untuk memungut mata. Pada hal dalam keadaan sebenar perlawanan badminton, berlaku berbalas-balas pukulan bulu tangkis. Bulu tangkis yang dipukul ke gelanggang lawan, dibalas balik dengan pukulan yang mengelirukan.
Ibaratnya, hari ini, sebelah pihak melontarkan satu persolan, esoknya dibalas dengan jawapannya dan pada masa yang sama persoalan baru pula dikemukakan. Bagi menunjukkan sikap bias pengulas sukan itu, nama seorang lagi pemain hanya disebut apabila dia gagal membalas serangan atau melakukan kesilapan saja. Dalam isu Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Najib ini, ramai juga aktor lain yang turut mengambil bahagian disebabkan isu yang digembar-gemburkan itu berkait rapat dengan isu politik tanah air. Isu ini dipanaskan lagi dengan kenyataan bersumpah bekas Penyiasat Bebas, P Balasubramaniam terhadap Dato’ Seri Najib yang kemudian menarik semula perisytiharan bersumpah yang dibuatnya hanya dalam tempoh kurang 24 jam.
Untuk menjaga kewibawaan, media arus perdana perlu berkecuali. Media bukanlah hakim untuk menentukan siapa betul atau siapa salah. Ia bukan tanggungjawab dan jauh sekali fungsi media. Biarlah rakyat membuat penilaian sendiri manakala mahkamah membuat keputusan jika ada kes yang perlu dibicarakan. Jika media mengambil sikap berat sebelah, mereka akan kehilangan pembaca dan penonton. Jika sebelum ini ada pihak mempersoalkan kewibawaan bidang kehakiman dalam menegakkan keadilan, sikap media adalah lebih rapuh. Jika terus menerus mengamalkan sikap berat sebelah, ia akan mendapat cemuhan dan mungkin mencetuskan pandangan negatif masyarakat umum. Orang ramai akan terus hilang kepercayaan kepada media.
Berbeza dengan media yang menjadi organ parti seperti Harakah dan Suara Keadilan, mereka mungkin boleh bersikap berat sebelah kerana mereka bertindak atas kepentingan parti mereka. Daripada pemerhatian, bolehlah disimpulkan bahawa media arus perdana cuba menunjukkan komitmen mereka untuk membantu pemimpin kerajaan yang berada pada pihak yang benar manakala pemimpin pembangkang sentiasa berada pada pihak yang salah. Jika keadaan ini berterusan, apa yang boleh berlaku, media juga akan dituduh bersekongkol. Jika media menyokong dan mempertahankan sebelah pihak sahaja, akhirnya tindakan pengamal media itu akan dianggap sebagai konspirator media.
dipetik dari Majalah Milenia Muslim Ogos 2008
..::blueberrybiru::..


