Ramadhan telah berlalu dan meninggalkan banyak kesan jika kita mengimbau bulan itu yang pada 10 hari pertamanya kita mendapat rahmat, 10 hari kedua mendapat pengampunan manakala 10 hari terakhir mendapat pembebasan daripada api neraka. Sungguh Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah terhadap hamba-hambanya. Seperkara yang menyentuh hati ialah betapa di bulan mulia Ramadhan itu dengan tiba-tiba timbul keinsafan bahawa ramai termasuk saudara seagama hidup dalam kemiskinan dan diancam kebuluran.
Selalunya, kemiskinan atau kesukaran hidup itu wujud di negara-negara Dunia Ketiga di mana ramai rakyatnya hidup melarat akibat sengketa, bencana alam atau faktor ekonomi, umpamanya di Bangladesh, Somalia, Daffur, Afghanistan, Palestin , Selatan Philiplina, Kashmir, Indonesia manakala di negara kita sendiri pun tidak pula kurang jumlahnya. Kehidupan mereka tidak normal seperti kita yang senang sedikit. Keadaan tidak normal itu pula menjadi normal pada mereka. Sungguh malang dan sedih.
Selain melalui panggilan telefon, mendengar dan menonton siaran berita di media, hantaran pesanan ringkas telefon (SMS) mengenai kesusahan mereka, banyak surat rayuan turut dihantar kepada individu untuk meraih simpati. Hati mana yang tidak tersentuh dan berasa amat insaf apabila membandingkan nikmat Allah yang dicurahkan kepada diri yang hidup cukup-cukup makan sahaja ini dengan mereka yang melalui kehidupan dalam serba kekurangan. Rupanya ada orang yang hidup lebih teruk hidupnya daripada diri sendiri.
Sehubungan itu, kita lihat betapa ada anak-anak yatim, orang kurang upaya, orang tua dan kumpulan fakir miskin diraikan dalam majlis-majlis berbuka puasa dalam keadaan yang serba mewah, tetapi lepas itu mereka kembali hidup dalam kesusahan seperti biasa, walaupun di majlis-majlis tersebut mereka dapat wang raya atau zakat dan dihidangkan dengan makanan dan juadah yang lazat-lazat. Di samping keceriaan dan kegembiraan di kota-kota raya di mana pertubuhan, para ahli korporat besar dan orang perseorangan ternama mengadakan majlis kebajikan tahunan mereka, betapa pada masa yang sama, ramai yang lain masih terpaksa hidup sengsara dalam keperitan.
Nampaknya, ramai mahu mengambil kesempatan membuat pahala berganda-ganda dengan bersedekah di bulan Ramadhan sahaja. Oleh itu, ia adalah sifat sementara sahaja. Justeru, sebagai Muslim, sifat prihatin dan pemurah itu sewajarnya terpahat di hati secara kekal. Usahlah sifat mudah bersedekah itu wujud sekadar di bulan Ramadhan sahaja dan lepas itu lokek atau bakhil menguasai diri. Sungguhnya sifat bakhil itu bertentangan dengan ajaran Islam malah ia juga boleh menyebabkan seorang menjadi munafik. Na’uzubillahi min zalik. Membantu orang dengan ikhlas adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial, lebih-lebih lagi dalam keadaan kenaikan harga barangan, khususnya makanan seperti yang kita semua alami sekarang.
Firman Allah, maksudnya, “Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan harta yang diberikan Allah kepada mereka menyangka bahawa kebakhilan itu lebih baik bagi mereka. Tetapi kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka, harta yang mereka bakhil akan dikalungkan di lehernya pada hari kiamat.” (QS 3:180)
Tidak lama lagi, satu peluang lagi untuk Muslim menabur bakti akan muncul. Ya, Eidil Adha atau Hari Raya Korban. Mungkin dari sekarang kita dapat jimatkan cukup wang untuk membeli binatang ternakan korban yang dagingnya dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin yang jarang-jarang berkesempatan menjamah daging dalam hidup mereka. Mungkin pada amalannya, banyak masjid dan kariahnya menumbangkan berbelas-belas atau berpuluh-puluh ekor binatang korban di kawasan mewah mereka, namun matlamat korban itu banyak tidak kesampaian kerana daging korban itu akhirnya hanya dapat diedarkan pada mereka yang sememangnya sudah biasa memakan daging.
Di negara kita ini banyak kawasan miskin, justeru, apa kiranya dapat ditinjau awal untuk menghantar binatang korban itu atau dagingnya ke kawasan yang sememangnya jarang dapat menikmati daging. Bertekadlah untuk menjadi orang yang tidak bakhil dan renungilah firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Barang siapa yang memelihara dirinya daripada bakhil, maka itulah orang yang berjaya.” (QS 59:9)
Tentunya kita mahu menjadi orang yang berjaya kan?
..::blueberrybiru::.. @MM


