Majlis Syariah United Kingdom baru-baru ini mengeluarkan satu fatwa yang mengejutkan dunia Islam, iaitu membenarkan anjing yang digunakan untuk membantu orang-orang buta memasuki kawasan masjid. Fatwa tersebut bagaimanapun tidak memberi keizinan kepada pemilik anjing berkenaan daripada membawa haiwan peliharaan mereka itu ke dalam dewan solat.
Fatwa itu dikeluarkan setelah Majlis Syariah UK mengadakan perbincangan panjang dengan para pemimpin Islam tempatan serta Persatuan Anjing Penunjuk Arah Untuk Orang-orang Buta selepas mereka menerima aduan daripada seorang pelajar buta bernama Mohammed Abrar Khatri. Khatri, 18, yang menetap di Leicester, sebelum itu menghadapi masalah menunaikan solat kerana anjing peliharaan yang digunakan untuk membantunya, tidak dibenarkan memasuki kawasan masjid.
Persatuan tersebut nyata gembira dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Syariah UK. Kepada mereka, ia adalah satu tindakan yang besar maknanya dalam membantu nasib orang-orang Islam yang menghadapi masalah penglihatan. Jurucakap persatuan itu berkata, mereka juga berharap agar pihak-pihak berkuasa masjid, bukan sahaja di UK malah di seluruh dunia, akan mengambil langkah yang sama supaya orang-orang Islam yang menghadapi masalah penglihatan, dapat menunaikan ibadah di masjid.
Ketika ditemu bual oleh media tempatan, Khatri melahirkan rasa gembira dengan keputusan Majlis Syariah UK itu, kerana prihatin dengan kesulitan yang dialaminya dan bertindak membantu beliau. Mengenai anjingnya, Vargo, Khatri memberitahu, semasa dia bersembahyang, haiwan itu akan duduk dan berehat tanpa membuat sebarang gangguan. Untuk keselesaan Vargo, pihak pengurusan Masjid Bilal Jamiah, iaitu tempat Khatri sering menunaikan solat, telah menyediakan satu ruang khusus bagi anjing berkenaan. Ia terletak di bawah tangga, bahagian depan pintu masuk masjid tersebut. Di situlah Vargo beristirehat sementara menunggu Khatri selesai bersolat.
Malah Masjid Bilal Jamia turut menyediakan satu peruntukan khas untuk anjing penunjuk arah seperti Vargo supaya haiwan itu dapat duduk dengan tenang sementara menunggu tuannya beribadah. Seiring dengan pengeluaran fatwa tersebut, Pengarah Majlis Imam-imam dan Masjid seluruh United Kingdom, Mohammad Shahid Raza menyeru agar semua Masjid yang baru dibina menyediakan kemudahan yang sama untuk golongan kurang upaya. Beliau juga berharap agar menjadikan ia satu keutamaan. “Kemudahan seperti itu dapat mencerminkan kepada dunia tentang sikap Islam yang prihatin dan membantu golongan kurang upaya,” tegas beliau.
Keputusan Majlis Syariah itu disambut baik oleh bapa pelajar tersebut, Gafar Khatri. Menurut Ghafar, sekarang anaknya itu boleh pergi ke mana sahaja dia mahu pergi, dan lakukan apa yang ingin dilakukannya. Beliau juga melihat keyakinan diri anaknya itu kini semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Itu apa yang berlaku di UK. Bagaimana dengan di Malaysia? Adakah Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan fatwa yang serupa? Wallahuallam….
..::blueberrybiru::.. @ AI



Assalam,
Bagus fatwa tu. Zaman Nabi saw pun anjing bebas keluar masuk masjid.
Tapi di Malaysia ni ada masalah sikit. Selagi agamawan2 ni tak terbuka minda mereka, dan tak faham tentang hadith2 yang berkaitan, mana mungkin boleh mereka terima/isu fatwa sedemikian?
Ada masalah lebih sikit. Mana ada muslim di Malaysia ni guna anjing pemandu?? Berapa kerat sangat…