Meletakkan artis sebagai ‘pembimbing’ remaja dalam rancangan-rancangan remaja di televisyen, ia adalah sesuatu yang agak tidak bertepatan memandangkan kecenderungan berhibur remaja itu akan terus dilayan dan bukannya diseimbangkan dengan didikan yang lebih bermanfaat.
_____________________________________________________________________________________________
Menjadi satu kecenderungan sekarang ini bagi rancangan-rancangan remaja di televisyen meletakkan artis atau selebriti sebagai pengacaranya. Tidak dapat dinafikan dengan meletakkan artis dan selebriti ini, ia akan menarik minat remaja mengikuti rancangan tersebut. Namun dari segi jangka panjang, apatah lagi menyangkut usaha untuk membangunkan modal insan, kecenderungan ini tidak memberi kesan yang dapat diharapkan.
Ia bukanlah memperkecilkan golongan artis, dan jauh sekali untuk meletakkan mereka sebagai ‘perosak’ kepada pembangunan jiwa remaja yang positif. Tetapi ia secara umumnya ialah untuk melihat isi pembangunan sahsiah dan fikiran remaja melalui pendekatan yang lebih holistik sifatnya. Secara umumnya golongan artis dan selebriti sinonim dengan hiburan, iaitu menjadi fungsi kepada usaha untuk menghiburkan khalayak masyarakat.
Remaja adalah golongan yang sangat cenderung kepada hiburan. Dengan meletakkan artis sebagai ‘pembimbing’ remaja dalam rancangan-rancangan remaja di televisyen , ia adalah sesuatu yang agak tidak bertepatan memandangkan kecenderungan berhibur remaja itu akan terus dilayan dan bukannya diseimbangkan dengan didikan yang lebih bermanfaat. Kenyataan ini bukanlah ingin menafikan hak remaja untuk mendapat hiburan apatah lagi menyekat atau mengongkong kebebasan mereka.
Remaja perlu faham bahawa had dan batas untuk mereka berhibur perlu jelas dan terang. Hiburan yang keterlaluan hanya akan merosakkan kehidupan bahkan menjerumuskan remaja kepada keadaan yang lebih buruk seperti penggunaan dadah, pergaulan bebas, perlakuan ganas dan juga penglibatan dalam jenayah. Ini semua berlaku apabila masyarakat secara umumnya dan pihak yang berpengaruh seperti media dan kerajaan khususnya tidak mengambil langkah untuk membentuk satu titik keseimbangan dalam perjalanan hidup remaja.
Artis dan selebriti yang menjadi pengacara dalam rancangan dalam rancangan remaja di televisyen memberikan pengaruh secara langsung dan tidak langsung remaja; sama ada melalui gaya mereka berpakaian, cara mereka bertutur dan aliran mereka berfikir. Dalam erti kata lain golongan artis ini menjadi contoh dan model kepada apa yang ingin ditiru oleh para remaja. Secara umumnya artis dan selebriti yang menjadi tatapan remaja ini gemar berpakaian menjolok mata ataupun fesyen yang mengetepikan nilai agama dan moral dengan gaya rambut serta aksesori (rantai leher bagi lelaki, subang di hidung dan pusat bagi perempuan, contohnya) yang menggalakkan pembentukan trend baru.
Pakaian serta gaya golongan artis ini (kebanyakkannya mempunyai nilai negatif) akan segera menjadi ikutan remaja. Artis juga ada kalanya bertutur dengan bahasa pasar dan bahasa slanga yang bercampur aduk. Malah ada yang menggunakan bahasa pasar yang kasar seperti yang membahasakan ‘aku’ dan ‘kau’, kononnya untuk kelihatan mesra, tidak rasmi dan spontan. Gaya dan cara bertutur ini mencerminkan akhlak seseorang. Jika cara bertuturnya itu kasar dan lepas, ia menunjukkan taraf dan tahap pemikiran yang tidak tinggi serta tidak berbudaya. Malangnya cara bertutur (segelintirĀ pengacara sahaja) yang buruk dan tidak berbudaya ini cukup cepat dan mudah diikuti oleh remaja. Ia akhirnya melahirkan golongan remaja yang tidak berbudaya dari segi cara bertuturnya. Lebih malang lagi, golongan remaja yang terikut dengan cara bercakap golongan artis ini akan menjadi tidak berkeupayaan untuk menyatakan fikiran mereka dengan bahasa yang baik dan betul.
Dari segi aliran pemikiran pula, segelintir golongan artis dilihat sangat memberatkan tujuan kebendaan dan hiburan, sehingga tidak terlihat usaha-usaha (kecil) untuk membangunkan pemikiran yang positif ke arah menzahirkan unsur-unsur ilmu kepada remaja. Segelintir artis dan selebriti ini dapat dikesan tidak mempunyai tahap pembacaan yang tinggi, malah mungkin tidak membaca sama sekali kecuali cerita dan maklumat hiburan sahaja. Apabila golongan artis sebegini menjadi pengacara rancangan remaja, mereka turut mempengaruhi cara berfikir remaja. Remaja yang terikut-ikut akan berfikir kepada matlamat mencapai keseronokan hiburan, dan akhirnya menjerumuskan mereka ke dalam dunia yang kosong dan tidak berilmu. Ada baiknya rancangan-rancangan televisyen untuk remaja ini mengambil tokoh-toloh budayawan muda, agamawan muda, ataupun golongan remaja yang berjaya dalam dunia pendidikan dan pencapaian lain selain hiburan untuk menjadi pengacara sekali gus pembimbing kepada golongan remaja ini melalui rancangan tersebut.
Stesen-stesen televisyen harus menyedari bahawa mereka tidak boleh menumpukan seratus peratus kepada aspek komersial, sebaliknya harus menyedari bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial terhadap bangsa dan negara. Dari segi agama Islam, jalan kehidupan Islam yang membentuk agama iaitu cara hidup yang disebut sebagai din itu ialah kefahaman Islam yang ditafsirkan dan dihidupkan dalam pengalaman manusia (insan). Dalam erti kata lain kefahaman Islam itu wajib dibawa dalam kehidupan umat sehingga ia dapat ditangkap dan dibayangkan. Ia menangkap erti pengalaman beragama yang merupakan dasar dan punca kehidupan yang membawa kepada kejernihan hidup bagi mencerminkan kebenaran.
Melihat kepada pernyataan ini golongan remaja yang kuat dirasuk oleh perasaan ingin tahu amat cenderung untuk mengetahui perkara-perkara baru. Di sinilah media boleh memainkan peranan untuk membawa remaja kepada kefahaman agama ataupun moral dengan cara menghidupkannya dalam fikiran remaja. Kefahaman agama atau moral ini boleh dihidupkan sehingga golongan remaja dapat menangkap dan membayangkannya dengan terang. Cara untuk membawa kefahaman ini ialah dengan meletakkan golongan remaja yang berjaya sama ada dalam dunia pendidikan, penulisan, budaya dan bidang lain yang boleh membangun atau mencapah ilmu sebagai pengantaranya. Pengantara inilah yang kita letakkan sebagai pengacara atau pembimbing golongan remaja di luar melalui pengalaman-pengalaman kejayaan mereka.
Jika rancangan-rancangan televisyen remaja ini masih memerlukan golongan artis dan selebriti, maka ia harus memastikan bahawa artis yang dibawa masuk itu adalah artis yang boleh memberikan contoh yang baik kepada remaja. Lebih baik lagi jika artis dan selebriti yang mengacarakan rancangan remaja ini adalah mereka yang mencapai kejayaan dalam dunia pendidikan. Atau setidak-tidaknya golongan artis yang membaca dan mempunyai pengetahuan yang bersifat ilmu. Pihak berkuasa dan pihak media harus menyedari bahawa apa yang mereka lakukan pada hariĀ ini akan menyumbangkan kepada masyarakat yang akan muncul pada hari esok. Maka itu golongan remaja ini harus diberikan perhatian ilmu yang sewajarnya.
..::blueberrybiru @ MM::..


