Barang bayi dah beli ke belum? Berapa pasang baju bayi yang dah beli? Nak bersalin di hospital mana nanti? Dah pilih ke nama bayi? Inilah antara soalan-soalan yang biasa ditanyakan kepada bakal-bakal ibu terutamanya yang baru pertama kali hamil. Disebabkan terlalu kerap bertanyakan persiapan menyambut kelahiran bayi dari segi material, maka ramai yang beranggapan hal ini sangat-sangat penting. Tidak ada yang lain yang lebih penting.
Tapi, benarkah persiapan material ini begitu penting sehingga semua orang mesti bertanyakan tentangnya terutama sekali ketika hampir tiba saat melahirkan? Tidakkah anda semua pernah terfikir tentang perkara-perkara lain? Tentang persiapan emosi dan persiapan spiritual contohnya?
Mungkin ramai di antara kita tahu mengenainya tetapi tidak rasakan perkara ini perlu diketengahkan kerana ia ada kaitan dengan aspek dalaman atau soal hati dan perasaan seseorang. Takut tersentuh kalau tersilap cakap. Tapi, inilah hakikat yang sebenarnya.
Sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada ketiga-tiga aspek ini iaitu IQ (Intelligence Quotient), EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient). Lagipun, manusia kan mudah lupa. Jadi, tidak salah jika kita saling ingat mengingati antara satu sama lain.
Ketahuilah bahawa IQ, EQ dan SQ perlu berjalan seiring agar tidak berat sebelah dan memastikan kita sentiasa berada di landasan yang sepatutnya. IQ atau kecerdasan intelektual ini berkaitan dengan kepintaran otak untuk melakukan sesuatu.
Secara ringkasnya, apa yang anda fikirkan dan bagaimana untuk mencapainya? Bagi ibu-ibu hamil atau bakal bapa, apakah yang anda rasakan perlu bagi seseorang bayi itu dari segi keperluan materialnya? Misalnya baju, katil dan barangan penjagaan dirinya. Untuk menyediakan barang-barang ini, kita perlukan kecerdikan akal. Fikir bagaimana cara terbaik dan bersih untuk mencari wang bagi menyediakan semua kelengkapan itu.
EQ pula ialah kecerdasan emosi. Kecerdasan emosi sangat berkaitan dengan apa yang anda rasa? Apa yang anda sebagai ibu hamil dan bakal bapa rasa sepanjang tempoh kehamilan? Apakah perasaan anda berdua? Bersedia kah anda menerima kehadiran seorang anak? Cukup bersedia kah anda berdua berhadapan dengan situasi baru yang sangat berbeza dan menguji kesabaran?
Kecerdasan spiritual atau SQ pula adalah kemahiran untuk mengenal diri sendiri. Siapa diri anda yang sebenar dan siapa pula anak yang bakal dilahirkan itu? Jika anda kenal siapa diri anda pastinya anda akan berusaha menyiapkan diri sebaiknya untuk memikul tanggung jawab yang telah diamanahkan oleh Maha Pencipta.
..::blueberrybiru @ Pa & Ma::..