Dalam keghairahan kita menyambut hari ulang tahun kemerdekaan tanah air, beberapa reaksi rakyat Malaysia tentang penggunaan istilah yang lebih tepat atau lebih sesuai untuk sambutan tarikh keramat 31 Ogos yang diraikan saban tahun kadang-kadang disebut Hari Merdeka, kadangkala diungkapkan sebagai Hari Kebangsaan amat menarik perhatian. Yang mana satukah antara kedua-dua frasa tersebut lebih relevan dan tepat dalam konteks penggunaannya pada hari ini?
Seorang pembaca The Star, 30 Ogos 2008, dalam tulisannya yang berjudul “It’s Hari Kebangsaan, not Hari Merdeka” di ruangan Opinion menegaskan bahawa frasa Hari Kebangsaan lebih sesuai digunakan dalam konteks negara Malaysia yang memiliki rakyat berbilang kaum dan agama berbanding dengan Hari Merdeka yang hanya berlaku sekali sahaja salam konteks sesebuah negara, umpamanya 31 Ogos 1957 dalam konteks Malaysia. Tambahnya lagi, selaras dengan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, maka selepas tahun 1970, frasa Hari Merdeka sudah tidak sesuai digunakan kerana tidakmenggambarkan kewujudan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
Sehubungan dengan itu, penulis tersebut mencadangkan supaya penggunaan frasa Hari Kebangsaan seharusnya diidentifikasikan secara langsung dengan tahun sambutan. Misalnya, Hari Kebangsaan 2008 dan bukannya Hari Kebangsaan yang ke-51 seperti yang selalu diuar-uarkan dalam media massa.
Seorang pembaca Berita Harian, 1 September 2008, pula dalam tulisannya di ruangan surat, berpendapat bahawa sudah tiba masanya bagi kerajaan mengubah nama sambutan Hari Merdeka kepada nama yang lebih kontemporari. Menurutnya, istilah Hari Merdeka yang digunakan itu terlalu lama dan sekarang hubung kaitnya dengan merdeka sudah kurang relevan.
Sehubungan dengan itu, dia mencadangkan supaya istilah Hari Merdeka yang digunakan secara menyeluruh oleh media pada hari ini diubah kepada istilah lain yang lebih sesuai, seperti Hari Negara, Hari Kebangsaan atau Hari Tanah Air. Katanya lagi, istilah itu harus lebih progresif, seperti memberikan impak dan semangat yang tinggi kepada warganegara.
Kedua-dua pandangan tersebut dilihat sebagai perkembangan yang baik dari sudut kesedaran masyarakat terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dalam konteks negara kita yang tercinta ini. Kedua-dua reaksi itu sebenarnya merupakan manifestasi kepekaan masyarakat terhadap penggunaan frasa yang lebih tepat untuk menggambarkan konsep kemerdekaan atau kebangsaan yang diinginkan pada hari ini.
Tentu sahaja pendapat pembaca The Star dan Berita Harian itu mencerminkan pandangan peribadi mereka sebagai rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, bahkan pandangan pembaca The Star itu dapat disifatkan sebagai sesuatu yang sangat tulus dan mengharukan kerana penulisnya bukan berbangsa Melayu (andaian itu berdasarkan nama yang tertera dalam penulisan tersebut). Pandangannya itu langsung mencerminkan keprihatinannya terhadap penggunaan frasa yang lebih tepat untuk menggambarkan konsep sambutan 31 Ogos tersebut.
Dari segi konseptualnya, frasa Hari Kebangsaan itu mempunyai kaitan langsung dengan pembentukan sesebuah negara berbanding dengan Hari Kemerdekaan. Hal ini demikian kerana menurut Kamus Dewan, edisi keempat, perkataan kebangsaan yang berasal daripada kata dasar bangsa itu bermaksud sesuatu yang berkaitan dengan negara secara keseluruhan, misalnya semangat Kebangsaan. Dalam hal tersebut, konsep yang dibawa oleh pembaca The Star itu agak tepat.
Sebaliknya, perkataan merdeka pula lebih merujuk kepada konsep kebebasan, yakni bebas daripada penjajahan kurungan, naungan dan lain-lain lagi atau lepas (daripada tebusan, tuntutan), berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain. Maka, dalam konteks negara kita, yang merdeka pada 31 Ogos 1957 hanya Persekutuan Tanah Melayu yang melibatkan negeri di Semenanjung Malaysia, tidak termasuk Sabah dan Sarawak.
Walau bagaimanapun, jika dilihat dengan lebih mendalam, sebenarnya kedua-dua perkataan itu mempunyai kaitan yang sangat erat. Secara logiknya, pembentukan sesebuah negara mempunyai perkaitan langsung dengan kemerdekaan sesebuah negara. Mustahil akan terbentuk sebuah negara yang bebas dan berdaulat sekiranya tidak memperoleh kemerdekaan. Hal itu tidak dapat disangkal.
Ironinya, dalam konteks kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu atau Sabah dan Sarawak telah memperoleh taraf kemerdekaan itu daripada bangsa Eropah. Siapakah mereka untuk memberikan taraf itu terhadap bumi yang selama-lamanya telah menjadi milik kita? Maka, dengan penuh rasional, wajarkan frasa Hari Kemerdekaan itu digunakan sebagai nama untuk “meraikan” hari yang dianggap hari kebesaran negara?
Maka, frasa manakah – Hari Merdeka atau Hari Kebangsaan yang lebih sesuai digunakan bagi meraikan sambutan 31 Ogos saban tahun? Tanggungjawab menentukan frasa yang sesuai digunakan itu wajar dipikul oleh pengkaji bahasa kebangsaan yang lebih arif lagi bijaksana. Merekalah yang harus membuat penyelidikan yang lebih lanjut.
Walau bagaimanapun, reaksi kedua-dua orang pembaca akhbar tersebut sudah dapat dianggap sebagai perkembangan yang bagus. Reaksi itu merupakan tanda keprihatinan mereka terhadap penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dari segi konsep dan takrifannya dengan konteks semasa berhubung dengan penamaan sambutan 31 Ogos yang menjadi hari kebesaran negara kita. Hal itu setidak-tidaknya harus menjadi kebanggaan kita semua sebagai pencinta bahasa!
..::blueberrybiru::.. @PB
Tinggalkan komen